Wednesday, July 7, 2010

Monday, July 5, 2010

Perutusan YDP Sempena Persidangan PPSMS ke-34

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana atas keizinan-Nya sekali lagi kita berjaya mengadakan Persidangan Pengurusan Pengetua Sekolah Menengah Sabah kali ke-34 pada tahun ini. Pada kesempatan kali ini, saya ingin menyampaikan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Induk dan Pengelola persidangan kali ini kerana berjaya menganjurkan persidangan tahunan ini biarpun dalam keterbatasan sumber kewangan. Oleh itu, saya berharap semoga persidangan kali ini yang membawa tema, “Pengetua Berkualiti Menjana Modal Insan Cemerlang” mampu mancapai matlamatnya demi meningkatkan kualiti kepemimpinan pengetua agar kualiti pendidikan di Sabah berdaya saing dengan negeri-negari lain di Malaysia.

NKRA Pendidikan Malaysia dan Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) merupakan kayu ukur dalam menentukan prestasi kita semua selaku peneraju utama di sekolah. Hal ini merupakan cabaran utama yang seharusnya kita harungi bersama-sama demi meningkatkan kualiti kita sebagai pengetua. Kualiti seseorang pengetua akan menentukan sama ada melalui sistem pendidikan, kita mampu menjana anak didik yang cemerlang dari segala aspek demi meredah gelombang globalisasi yang kian mengganas. Kitalah yang harus mencorak kecemerlangan anak didik kita agar mampu ‘memasarkan’ diri masing-masing demi memenuhi tuntutan semasa.

Sehubungan itu, gaya kepimpinan pengetua yang berkualiti perlu mengguna pakai pelbagai pendekatan agar mampu menghasilkan gaya kepimpinan yang kreatif dan inovatif. Hal ini selari dengan tuntutan dunia pendidikan yang kian rencam dan mencabar. Kewibawaan kita sebagai pengetua kerap teruji yang menuntut suatu tindakan yang berhemah, bijak dan tuntas sesuai dengan mandat yang sedang diguna pakai. Semoga persidangan kali ini mampu memberi impak yang besar untuk membawa bidang pendidikan di negeri Sabah ini ke tahap yang diharapkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Akhir bicara, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan AJK PPSMS dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan persidangan kali ini. Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua pengetua.


Sekian, wassalam.


LIASIN KALOH
Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah.

Sunday, July 4, 2010